Friday, January 28, 2011

semusim rindu



bila rindu mula bermusim
kembalilah menyubur
benih-benih sayang
dan mekarlah kuntuman
yang bertaman indah
di segenap ruang hati.

bila rindu mula bermusim
angin curiga sesekali berhembus
dan bayu cemburu terkadang menyapa
usah layu pepohon rindu dengan sangsi
bertamulah kekuatan jiwa
jauh kedalam akar setia.

bila rindu mula bermusim
berpautlah teguh rasa sayang
pada setia dahan janji.

bila rindu mula bermusim
berlabuhlah rasa sunyi dan sepi
dengan merdu beburung menyanyi
dengan asyik pepohon menari
percaya pada gurindam
kita kan bertemu kembali.

~penajalanan~

*puisi "semusim rindu" juga telah aku muatkan dalam blog kapasitor mewakili peraduan mengarang serantau.

Thursday, January 27, 2011

monolog si kunang



kami kecil!
ku...ku..ku nang!
kami kerdil!
ku..ku..ku nang!
tak kan kami dapat di kenang.

kami kunang-kunang!

duhai kalian
punya akal yang budiman,

disini daerah kami !
hijau ini sahabat kami
setenang air yang mengalir
adalah jiwa kami
jangan di musnah segala ini
dengan rakus tangan kalian.

renunglah simpati cahaya
dengan penuh ehsan..,

tapi kami hanya ku...ku..ku nang!

kunang-kunang !

kami kunang-kunang!

"tidak segemilang cahaya bulan
tidak setinggi cahaya bintang"

kami perlu disini..,ku..ku..ku nang!

kunang-kunang!

kami kunang-kunang!

"tetap menghias langit malam
bersama setia bulan dan bintang."

~penajalanan~

*puisi "monolog si kunang" adalah percubaan pertama untuk aku menulis puisi genre 'satira' juga mewakili peraduan mengarang serantau dalam laman kapasitor.

Wednesday, January 26, 2011

jangan luntur putih merpati



JANGAN LUNTUR PUTIH MERPATI

Duhai dikau putih merpati,
merpati putih..! putih merpati..!
peliharalah santun tuturmu,
jangan kau meninggi kelak kau dibenci..,
bukan pula rendah tanda kau mengalah.
merpati putih.. ! putih merpati..!

Duhai dikau putih merpati,
oh merpati! oh merpati!
sebebas sayap akan pergi
jangan mudah didampingi
noda akan memusnah diri
kelak kau tiada dipuja lagi
merpati putih! putih merpati!

Duhai di kau putih merpati,
oh merpati! oh merpati!
hinggap nanti dipohon yang teguh,
jangan pula dahan yang rapuh,
kelak kau tersusuk duri,
luka berdarah pedih sekali.
merpati putih! putih merpati!

Duhai dikau putih merpati!
oh merpati! oh merpati!
terbanglah dikau terbang tinggi!
bebaslah di kau bebas pergi!
jangan luntur putih merpati.

~penajalanan~


*puisi "jangan luntur putih merpati" sebuah karya yang aku ilhamkan sempena ulang tahun NUR ATIKAH BT MOHD FAZIR..

Tuesday, January 25, 2011

semanis senyum mereka



Aku tidak pernah menduga untuk menjadi seorang 'guru' kerana jauh dari impian dan cita-cita aku yang sebenar.Namun segalanya atas jalan takdir yang telah di tentukan oleh yang lebih mengetahui akan segala-segalanya.Aku menerima pelantikan sebagai seorang guru di sebuah institusi pendidikan swasta beraliran agama.Aku menerima tawaran yang di berikan kerana ingin menemani kakak yang telah kehilangan suami setelah mendirikan rumah tangga kira- kira 2 tahun yang lalu.Jasanya kepadaku ketika di bangku sekolah dan ketika menuntut di pusat pengajian tinggi tidak boleh di pandang sepi.Namun aku kagum dengan ketabanan yang dimiliki dan semangat untuk meneruskan kehidupan walaupun telah di tinggalkan bersama anak perempuan yang baru berusia 4bulan ketika di tinggalkan oleh arwah ayahnya.Sudah di takdirkan Siti Nurfatin Afifah bergelar anak yatim walaupun ketika masih belum puas menikmati kasih sayang daripada seorang yang bergelar ayah.Dengan membuat keputusan untuk menetap di Perak kami berteduh dirumah peninggalan ayah sebelum beliau bergelar pesara polis dan berhijrah ke Johor Bharu.


"Kalau begitu Fahim boleh mula bertugas pada 1 Julai dan mata pelajaran yang akan Fahim mengajar di sini nanti ialah Sejarah untuk tingkatan 3 4 dan 5." Begitulah penerangan serba ringkas daripada Tuan Pengetua setelah aku bersetuju untuk berkhidmat sebagai seorang guru dan sekaligus menerima amanah untuk mendidik anak bangsa.Satu episod baru akan bermula dalam hidupku.Aku memandang tepat ke arah buku teks sejarah yang di bekalkan oleh pihak sekolah kepadaku.Dalam hati aku berkataa buku inilah yang sering aku lupa dari membawa ke sekolah kerana aku tidak menggemari subjek sejarah namun nasib menyebelahi aku walaupun aku tidak memberikan tumpuan kepada subjek ini namun aku masih lulus dengan cemerlang untuk Sijil Pelajaran Malaysia sehingga guru sejarahku terkejut kerana tidak menyangka aku akan lulus dengan cemerlang."Hmmm...nampaknya terpaksalah aku buka semula kitab aku kak.."Keluhan yang aku lemparkan kepada kakak setelah tiba di rumah."Tak mengapalah,janji kamu ada semangat dan niat yang ikhlas untuk mengajar dan ambil pengalaman bergelar seorang guru nanti.".jawab kakak menambah keyakinan kepadaku.


Hari yang di hitung dan di nanti telah tiba.Segala perasaan bercampur baur telah mengiringi aku untuk hari pertama aku ke sekolah.Namun seketika detik dalam diri aku masih sempat mengimbau nostalgia lama ketika bergelar pelajar suatu ketika dahulu,apa yang berbeza untuk pagi itu aku ke sekolah dengan membawa langkah kaki sebagai seorang guru.Mataku memandang ke arah luar , kawasan sawah padi yang luas bagaikan lautan hijau menemani aku sepanjang perjalanan ke sekolah dan sedikit sebanyak dapat mendamaikan perasaan aku yang agak gementar."Assalamualaikum cikgu." sembah salam yang pertama telah diberikan oleh para pelajar tingkatan 3 Jabir yang berjaya mengkekalkan ingatan aku kepada mereka kerana merupakan kelas pertama yang memanggilku dengan gelaran cikgu."wa'alaikumussalam, kamu semua boleh duduk". Jawabku tenang.Aku memulakan sesi memperkenalkan diri,aku tidak bermasalah dalam berinteraksi dengan para belajar mungkin pengalaman aku ketika di bangku sekolah dahulu kerana aktif dalam pertandingan pidato dapat membantu aku untuk berkomunikasi dengan baik.Aku menjawab segala pertanyaan tentang diri aku oleh para pelajar dengan sabar.Nampaknya kehadiran aku mula di senangi oleh mereka.

Silauan terik cahaya matahari membuatkan mataku terkebil-kebil memandang jadual waktu guru yang di bekalkan kepadaku."Maaf ustaz,kelas tingkatan 4 Al-Farabi di mana .?"bertanya aku ringkas."Cikgu gunakan tangga ini dan berjalan terus ke hadapan,kemudian cikgu belok ke arah kanan."balas ustaz Syukur berserta dengan senyuman.Melangkah masuk ke dalam kelas 4 Al-Farabi aku sedikit malu,maklumlah kelas tingkatan 4 Al-Farabi adalah kelas yang terdiri daripada semua pelajar perempuan.Aku melayan kerenah dan telatah mereka dengan sabar dan tenang.”Nama saya Nur Amanina Binti Azhar asal cheras.”Amanina cuba memperkenalkan diri,dengan suara serak – serak basah yang di milikinya dia kelihatan sangat comel dan licik."Nama saya Masthura Dhamayanti asal selayang." dengan suara sedih dan sayu Masthura memperkenalkan diri."Kenapa Masthura saya dengar sedih saja."sampuk aku mendapat kepastian"alah dia memang macam itu cikgu! minah sedih !."tiba-tiba ada suara yang menyampuk."Ish! mana ada.."Masthura membela diri.Keadaan kelas menjadi gamat dengan ketawa sinis para pelajar yang geli hati melihat telatah Masthura apabila di usik oleh rakan-rakan.Aku mula serasi dengan mereka dan setiap kali menjalani proses pembelajaran ada sahaja gurau senda yang akan menjadikan suasana ceria.

Hari berlalu dengan begitu pantas tanpa sempat aku menghitung setiap detik waktu yang telah berlalu.Aku sungguh selesa mengajar disini.Layanan yang diberikan oleh pihak sekolah kepada setiap warga guru juga amat baik.Hubungan aku dengan para pelajar juga mesra,namun aku tetap menjaga batas pergaulan lebih-lebih lagi yang berbeza jantina denganku,tambahan pula kami berada di institusi pendidikan yang menerapkan tarbiah Islamiah , aku tidak mahu hubungan mesra aku dengan para pelajar di salah tafsir oleh individu tertentu.Namun terkadang jauh di sudut hati aku merasa kecil bila berdiri di hadapan para pelajar tetapi cuba aku sembunyikan,kerana aku tidak memiliki sarjana pendidikan untuk bergelar guru yang bertauliah,sungguh pun demikian , alasan itu tidak membuatkan aku mengambil sikap sambil lewa dalam menyampaikan pengajaran.Hampir setiap malam aku mengulangkaji sebelum aku memulakan sesi pengajaran.Dalam tak sedar dengan putaran waktu, aku berjaya menamatkan sesi persekolahn untuk tahun 2009,untuk tahun seterusnya aku memohon menjadi guru bahasa melayu kerana aku lebih gemar akan subjek pengajian bahasa dan merasakan aku lebih mampu memberikan pengajaran yang terbaik untuk subjek tersebut.

Kemeja berwarna hitam dan berjalur kelabu aku pilih untuk aku gayakan pada hari pertama setelah beberapa hari cuti persekolahan sesi 2009 tamat.”Cikgu mengajar subjek apa tahun ini.?”tanya ustazah Junaidah.”Saya mengajar bahasa melayu ustazah,syukurlah dapat mengajar subjek yang saya minta.”Jawab aku bersahaja.Sebagai tanda berterima kasih atas permohonan aku mengajar subjek bahasa melayu di luluskan aku memberikan penyampaian yang terbaik untuk sesi pembelajaran bahasa melayu,hampir semua bahan bantuan mengajar aku gunakan untuk menarik minat para pelajar,daripada prosa klasik sehinggalah prosa moden tambah menggembirakan aku para pelajar turut menunjukkan minat terhadap sesi pembelajaran .Segala ilmu ketika berada di Institusi pengajian tinggi aku gunakan untuk pengajian bahasa melayu,mudah bagi aku kerana aku mengambil jurusan seni persembahan teater ketika di universiti.


Minat terhadap seni hiasan dalaman sedikit sebanyak aku gunakan untuk membantu menghias kelas tingkatan 5 Ibnu Khaldun iaitu kelas 4 Al -Farabi pada tahun sebelumnya.Aku sangat gembira kerana menjadi guru kelas untuk mereka.Setiap sudut di dalam kelas kami hiasi dengan kreativiti yang tersendiri.Hubungan kami sebagai guru dan pelajar bertambah mesra.”Cikgu jangan lah pindah kemana-mana...,tunggulah sampai kami habis peperiksaan SPM nanti...”pesan Amanina.Dia sangat risau sekiranya aku berpindah kerana telah menjadi kebiasaan guru-guru yang pernah mengajar di sekolah tersebut tidak akan berkhidmat lama.”Baiklah... ,saya janji akan berada di sini sehingga kamu semua tamat sesi persekolahan...”jawapan aku bersahaja.”Janji tau...!”Amanina cuba mendapatkan kepastian."ya lah cikgu..,nanti siapa yang nak ajar kami semua."rakan_rakan yang lain mencelah.Aku tergamam seketika.Perasaan terharu mula bertandang dengan kata-kata mereka membuatkan diri aku terasa sangat di hargai.Semenjak aku menjadi guru kelas kepada mereka kami semakin akrab,kadangkala aku menganggap mereka seperti adik kandung sendiri kerana aku juga mempunyai adik lelaki yang seusia dengan mereka.

Namun benarlah kemarahan dan prasangka buruk adalah musuh dalam diri.kemarahan akan menjadikan manusia hilang pertimbangan manakala prasangka buruk adalah sahabat sejati untuk persengketaan.”Cikgu ini borang permohonan cuti, pengetua mahukan cikgu lengkapkan.”kata salah seorang kerani sekolah kepadaku.Aku merenung tajam borang yang diberikan.Pada mulanya aku berfikiran terbuka dengan pemberian borang pemohonan cuti kepada aku.”cikgu,apa maksud ‘terkesima’..?”tanya salah seorang guru kepada aku sejurus selepas aku menerima borang tersebut.Aku mula merasakan sesuatu yang pelik berlaku apabila mendengar hilai ketawa yang datang dari arah pejabat sekolah.Pertanyaan cikgu sebentar tadi yang inginkan maksud perkataan terkesima mula aku anggap sebagai sindiran.Memang benar aku tidak hadir ke sekolah pada hari sebelumnya,namun aku mempunyai alasan tersendiri.Api kemarahan aku telah membakar fikiran waras ketika itu,lantas aku menulis cuti untuk selamanya pada borang yang telah di berikan.Dalam erti kata lain aku berhenti berkhidmat sebagai guru.Satu keputusan yang aku lakukan ketika di kuasai emosi marah telah pun memakan diri.


Aku merenung ke arah langit melihat bintang dan bulan yang menghiasi langit malam.Mungkin dengan melihat bintang dan bulan pada malam ini aku berasa dekat dengan mereka kerana walau sejauh mana kita berada pasti akan dapat melihat bintang dan bulan yang sama.Namun itu hanya sekadar kata-kata untuk memujuk hati.
“Itulah kau Fahim , akibat marahkan nyamuk kelambu di bakar ..” kata-kata yang emak lemparkan kepada aku pada senja tadi datang menyapa,membuatkan aku terbungkam dalam lamunan.Walaupun jasadku tiada disekolah namun fikiran dan ingatan aku tetap kepada mereka.Kotak berwarna merah jambu aku tatap dengan sayu dan pilu air mata mula berkolam menanti saat untuk di singkirkan, dalam kesedihan dan kepiluan aku mengenang kembali janji aku kepada merekaa untuk berkhidmat sehingga tamat sesi persekolahan.

Rasa bersalah mula bersarang dalam diri.Penyesalan mula berlegar dalam benak fikiranku dan terfikir sejenak sekiranya aku mampu melawan emosi marah dengan lebih terkawal sudah tentu aku masih dapat bersama mereka membantu dalam meneruskan kejayaan dalam pelajaran.Sudah tentu aku masih dapat melihat setiap senyuman antara mereka.Namun aku terpaksa akur dalam menerima lumrah hidup kerana setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.Mungkin kesilapan hari ini adalah pengajaran untuk hari esok supaya aku lebih matang dalam membina keputusan dalam hidup.Pengalaman bergelar guru adalah pengalaman yang sungguh berharga untuk aku walaupun hanya seketika cuma.Namun setiap babak-babak yang aku cipta bersama mereka tidak akan pernah terkubur serta menjadi pengubat rindu saat terkenangkan mereka dan akan aku jadikan pengalaman yang paling manis semanis senyum mereka.

seperti kunang-kunang


..Dalam rancangan "3hari 2 malam" iaitu sebuah siaran dokumentari tentang aktiviti pelancongan dan tempat-tempat menarik di seluruh Malaysia telah memaparkan sebuah episod tentang aktiviti yang di gemari oleh ramai para pelancong ialah melihat kehidupan kunang-kunang di salah sebuah kawasan hutan paya bakau di cherating,Pahang.Sebagaimana yang kita tahu kunang-kunang atau kelip-kelip ialah sejenis serangga yang unik kerana mengeluarkan cahaya yang berwarna kehijau-hijauan.
Namun setelah aku menonton siaran tersebut pengetahuan aku bertambah mengenai spesis serangga ini kerana mengeluarkan cahaya ketika mahu mengawan.Selepas proses mengawan kunang-kunang jantan akan mati dan kunang-kunang betina akan turut mati selepas proses bertelur.Kitar hidup spesis ini juga hanya selama 4 minggu iaitu kira-kira satu bulan.Sungguh kagum aku dengan ciptaan tuhan.Ada sesuatu yang aku dapat pelajari melalui kisah kunang-kunang.Spesis jantan mengakhiri hayat selepas proses mengawan begitu juga kunang-kunang betina mengakhiri hayat sesudah proses bertelur,..sesuatu yang simbolik boleh kita fikirkan melalui kisah kunang-kunang.

Ketentuan



...Ungkapan angan-angan akan menjadi kenyataan sudah mesra kita dengarkan.Angan-angan seseorang yang pastinya adalah impian dan harapan yang ingin di kecapi.Bila berbicara tentang angan-angan sudah pasti yang akan terbayang di ingatan sesuatu yang indah untuk di miliki.Bermula dengan angan-angan kita akan meletakkan usaha untuk memastikan ia bertukar menjadi kenyataan.Namun apabila terlalu asyik dengan angan-angan tanpa kita sedari kita terperangkap dengan permainan hidup,kerana sudah lumrah dalam kehidupan manusia tidak semua impian kita mampu kita kecapi.Kadangkala angan-angan hanya mampu tergantung menjadi satu harapan yang tiada kesudahan.Bagi aku pula jangan terlalu asyik berbicara tentang angan-angan sebaliknya bicaralah soal hakikat hidup supaya kita tidak terlalu kecewa apabila kita tidak dapat apa yang kita inginkan.Dan menerima segalanya sebagai ketentuan tuhan.

Sunday, January 23, 2011

pewaris


Setiap daripada kita mempunyai hak kebebasan dan cara yang tersendiri untuk membawa atau menyampaikan nilai-nilai murni tidak kira latar belakang agama,budaya dan masyarakat.Semua elemen-elemen murni yang disampaikan dapat meninggalkan kesan yang baik kepada individu untuk di terapkan dalam kehidupan seharian.Jika kita singkap lipatan sejarah pelbagai cara telah di kesan oleh masyarakat terdahulu untuk menyampaikan nilai-nilai murni sebagai contoh masyarakat melayu terdahulu menggunakan seni tarian,nyanyian mahupun pementasan teater sebagai alat atau medium mereka menyampaikan nasihat dan pengajaran kepada masyarakat setempat.
Walaupun pencapaian teknologi pada ketika itu tidak sehebat masyarakat moden hari ini namun mereka mempunyai kreativiti dan inisiatif tersendiri untuk menyampaikan pesanan dan nasihat kepada masyarakat.Hal ini dapat di buktikan kerana hasilnya sehingga kini kita dapat menghayati setiap seni kata lagu yang mempunyai nilai-nilai murni malahan setiap gerak tari yang di cipta mempunyai kesantunan dan penuh dengan adab- adab yang mencerminkan ketinggian budi pekerti sesebuah bangsa dan masyarakat.Tarian Zapin sebagai contoh banyak mengandungi unsur-unsur nasihat yang boleh kita guna pakai dalam kehidupan seharian.Di antara seni lagu yang diguna pakai oleh tarian ini di ambil daripada prosa klasik iaitu Pantun Budi yang mengajar kita supaya mengenang setiap budi baik yang telah diberikan.Tarian ini bukan sahaja memiliki kesantunan gerak tari yang memukau setiap penonton malahan mempunyai nilai pengajaran yang baik jika di hayati melalui seni lagu yang mengiringi tarian ini.
Namun demikian berbeza dengan pandangan golongan muda hari ini yang menyifatkan tarian sebegini sebagai ketinggalan zaman.Mereka lebih gemar dan mengagumi tarian yang di bawa oleh masyarakat barat berbanding dengan tarian yang di perturunkan oleh nenek moyang mereka sendiri.Tambah malang apabila tarian ini di jadikan amalan hidup seharian mereka ketika beriadah pada waktu petang.Sememang tidak di nafikan gerak tarian barat juga dapat menyihatkan tubuh badan namun jika di tanya apakah maksud di sebalik tarian yang mereka minati dan apakah pengajaran yang dapat di ambil mereka hanya mendiamkan diri.
Berdasarkan sumber yang di peroleh daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, saban tahun kita menerima ramai kunjungan pelancong luar yang datang dari serata dunia.Para pelancong yang berkunjung ke negara bukan sahaja ingin menikmati keindahan alam semula jadi yang dimiliki malah mereka ingin melihat kepelbagaiaan seni budaya yang dimiliki oleh negara tambahan pula negara kita terkenal dengan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa.Justeru apakah pandangan mereka kepada anak bangsa kita yang cuba memaparkan seni budaya masyarakat lain.
Justeru pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam permasalahan ini kerana jika dibiarkan kita akan kehilangan pewaris untuk menyambung seni budaya yang di perturunkan kepada kita atau suatu hari nanti kita akan melihat penari-penari yang menarikan tarian bangsa memakai tongkat dan berambut putih di kepala.Oleh itu jadilah masyarakat moden yang menghargai seni warisan bangsa dan jangan jadikan arus kemodenan untuk kita melenyapkan khazanah bangsa.
~penajalanan~

memahami

.....Pada pandangan peribadi aku dalam kehidupan didunia ini untuk kita memahami sesuatu situasi dan keadaan orang lain ialah dengan cara kita meletakkan diri kita di dalam situasi individu tersebut...barulah kita dapat merasakan apa yang mereka rasa dan barulah kita mula memahami keadaan yang sebenar....kita tidak boleh membuat kesimpulan terlalu awal tanpa mengetahui keadaan sebenar dan tindakan ini sangat tidak adil....kebiasaan manusia memang begitu..gemar membuat andaian dan kesimpulan dengan mata zahir sahaja namun kesimpulan yang di buat adalah salah sama sekali dari keadaan yang sebenar....

perjalanan masa



"..aku kerapkali melihat jarum waktu dan menghitung setiap detik dan ketika....... menjadikan ia seolah satu lambang perjalanan masa...... dan aku mula merasa kesakitan dan perjuangan...aku seringkali lupa bahawa aku di hantar ke dunia untuk mempelajari sesuatu...jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan...... kerana aku tidak akan belajar sesuatu daripada kesilapan.....maka daripada kesilapanlah aku mula bangkit dan terus berdiri di atas kaki sendiri....... melalui setiap peristiwa dan pengalaman hidup yang ditempuhi aku akan lebih menghargai dan mensyukuri kehidupan yang telah diberikan oleh tuhan......."
~penajalanan~

bahasa jiwa

" pelbagai bahasa dalam dunia ini boleh kita pelajari dengan mudah...namun bagi aku pula...... bahasa yang sukar untuk di fahami adalah "bahasa jiwa"..... kerana ia datang jauh dari dalam sudut hati....... yang berbicara tentang segala rasa dan perasaan.......... untuk di zahirkan dalam bentuk bahasa........ namun mungkin sukar untuk di fahami dengan jelas....... kerana harus mendalami jiwa sang penutur......... agar tidak tersalah dan tersasar jauh dari hasrat yang ingin di sampaikan..."
~penajalanan~

dunia kecil


aku rindu pada dunia kecil....dunia yang membuatkan segala-galanya kita fikirkan hanya untuk mendapat kegembiraan dan keseronokan...saat bermain dengan kawan-kawan sepermainan ketika di dalam dunia kecil adalah detik yang sangat aku rindukan.....tetapi ketika berada didalam dunia kecil aku menginginkan supaya cepat menjadi dewasa,kerana aku memikirkan menjadi orang dewasa lebih baik daripada menjadi kanak-kanak kecil...Namun apa yang aku rasa sekarang setelah menjadi dewasa adalah berbeza dari sangkaan...Dunia dewasa sangat mencabar kerana terlalu banyak perkara untuk kita fikirkan.Pelbagai masalah,rintangan dan cabaran menjadi teman setia di dalam dunia dewasa.Kehidupan menjadi sangat merumitkan dan merimaskan sehingga terkadang membuatkan aku rasakan sekiranya dapat di undurkan kembali setiap detik dan masa aku ingin kembali dalam dunia kecil dan kekal di dalamnya...

luka



Benarlah kata orang "luka dibadan akan berdarah namun bila luka di hati tak siapa yang tahu"
Memang ada kebenaran di sebalik kata ini...kadangkala kita lebih rela menahan kesakitan akibat luka yang nampak pada pandangan zahir namun apabila hati terluka..amat perit untuk di tanggung..kita harus mencari penawar untuk luka yang kita alami..merawat luka di hati tak sama dengan merawat luka di badan..namun persamaan setiap luka pasti akan ada kesan parut yang tinggal...
kita akan megenang kembali apabila melihat kesan parut akibat sesuatu peristiwa atau kejadian dan ....begitu juga "hati".. kita terjatuh dalam permainan perasaan yang di namakan sebagai "cinta"..luka akibat cinta juga meninggalkan kesan parut... untuk kita belajar melalui pengalaman silam supaya kita tidak akan terluka lagi....dan mungkin juga kita dapat belajar sesuatu setelah mendapat luka di hati....sekurang-kurangnya kita belajar sesuatu dalam mendalami maksud cinta di sebalik luka yang di miliki....."

andai itu jalan takdir



".....kehidupan yang aku lalui jauh berbeza dengan yang lain..
aku hidup dalam dunia aku sendiri.....
menyedari hakikat dan kelemahan diri aku cuba untuk belajar bersyukur dan redha dengan ketentuan Illahi......... mungkin besar hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang aku tempuhi.........
apa yang perlu aku lakukan.....adalah berdoa supaya segalanya pulih seperti biasa...
jika terlalu di fikirkan akan membinasakan diri...
aku memilih untuk menghargai kehidupan dan belajar mensyukuri setiap nikmat yang telah di kurniakan...
sekurangnya aku di beri kesempatan untuk menyedut segar udaranya,melihat hijau damai buminya,merenung tenang biru lautnya,segalanya tanda kekuasaan dan kewujudan dan bagi yang berakal akan kagum dengan keagungan penciptanya.......
setiap hari yang aku lalui...aku perlu bersabar.....dan kuatkan semangat untuk membawa kaki terus melangkah walau perit dan sukar untuk meneruskan perjalanan hidup...namun aku harus redha andai itu jalan takdir......."
~penajalanan~

dia di hati



terlalu sukar untuk melupakan dia yang telah jauh berada di dalam hati...segala rasa sayang yang tak mungkin berbelah bahagi...memang sukar juga untuk melupakan setiap hembus nafas ketika berada di sisinya...setiap episod bersamanya menjadi satu melodi indah sebagai kenangan...
agar dapat aku lagukan ketika rindu yang teramat mula bermusim...
berlayarlah aku bersama bahtera khayalan meneroka disegenap lautan kasih..agar benar dia mengetahui betapa aku sayang padanya.. ..
~penajalanan~

duhai pari-pari malam



"serasa rindu padanya..
duhai pari-pari malam...
bawalah bersama aku terbang ..
agar dapat aku melihat dirinya..
lena bersama buaian mimipi-mimpi yang indah.."

Friday, January 21, 2011

seperti matahari pelangi dan bulan



"memang lumrah hidup ini ...
kita mudah untuk menghargai kehadiran seseorang setelah kita kehilangannya...
sesuatu yg indah itu bermusim sifatnya...
matahari tidak setia menemani langit siang..
pelangi pula tidak kekal untuk langit petang
begitu juga bulan hanya menjelma ketika langit malam...
namun itu semua tidak penting....
Apa yang lebih penting matahari pelangi & bulan
pernah hadir dalam hidup kita....
menemani siang petang dan malam....."
~penajalanan~

sudah menjadi lumrah manusia "kita akan merasakan pernah memiliki sesuatu yang berharga dalam hidup setelah kita kehilangannya".

Apa sahaja yang baik bagaikan di pandang sepi apabila kita tidak menghargai kehadiran seseorang dalam hidup.Aku juga mengalami hakikat ini dalam hidup,
"berada disisi orang yang bererti bagi kita sedangkan kita tidak bererti apa-apa pada dirinya adalah suatu hakikat yang terlalu perit untuk di telan".

Namun harus di ingat tuhan itu maha adil,apabila kita gagal untuk menghargai seseorang maka balasan yang sama akan kita rasai apabila diri sendiri tidak di hargai oleh orang lain dan saat itu baru kita kenangkan kembali insan-insan yang pernah hadir dalam hidup dan "menghargai sesuatu yang telah hilang dan pergi adalah sesuatu yang sangat rugi".

sejernih hati



" sejernih dan sesuci lilitan putih di atas kepala belum tentu boleh menjernihkan seketul daging yang mengukur segala ketulusan dan keikhlasan pada setiap perbuatan, dan segala kemuliaan yang di peroleh dari tipu daya lakonan dunia belum cukup untuk menghukum sesama MANUSIA...."

Kata-kata ini aku zahirkan kerana aku melihat manusia hari ini terlalu mudah untuk menghukum sesama manusia apabila seseorang melakukan kesilapan dan kesalakan maka sewenangnya untuk mereka melemparkan cemuhan sedangkan ajaran Islam kita tidak mengajar sedemikian kerana kita sebaliknya perlu menginsafi kesalahan yang dilakukan mereka dan menghampiri mereka yang melakukan kesalahan agar dapat kembali ke jalan yang lurus.Kadangkala orang yang di sangkakan mulia atau sempurna pada mata pandangan memiliki hati yang busuk kerana memiliki kemuliaan hasil lakonan semata.

kembali


Kembali
Semalam dan kelmarin
Aku kisahkan segala cerita dan cereka
Tentang mereka yang berjalan
Tentang mereka yang berlari
Tentang mereka yang di kejar
Tentang mereka yang di mengejar
Tentang mereka yang di pimpin
Tentang mereka yang memimpin

Ada yang bijak mengira
Menghitung segala kaya
Tapi dungu dalam membilang dosa
Ada pula yang bijak bicara
Berkata tentang isi dunia
Sedang diri jauh dengan pencipta
Samalah juga dengan si bijak pendusta
Memperguna mulia yang di cipta
Dari lakonan semata

Teladanilah segala cerita dan cereka hidup
Agar punya makna
Celikkan kembali mata yang sengaja di butakan
Pulihkan kembali telinga yang  sengaja di pekakkan
Gerakkan kembali tangan Yang sengaja di kakukan
Teruskan kembali langkah yang sengaja di hentikan
dan hidupkan kembali jiwa yang telah di matikan

kita padamkan api keegoaan
dengan kalimah agung
“Aku bersaksi tiada tuhan yang di sembah melaikan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”
Satukan sujud kita kepadaNYA
Dalam rapat dan erat saf
Agar dapat kita  kembali menuju redha ESA 
    ~Pena jalanan~

tentang cinta sayang dan rindu



Bila berbicara tentang cinta terlalu subjektif untuk di perkatakan kerana terlalu banyak pendapat dan pendirian seseorang mengenai cinta.

Pandangan aku pula cinta adalah satu anugerah yang di takdirkan. kata orang "dari mata turun ke hati" dan bagi aku pula "dari luhur budi turun ke hati" kerana apabila kita dapat merasa keihlasan budi pekerti seseorang maka cinta yang di peroleh lebih bersifat telus.

Tidak kurang yang menyifatkan "cinta itu buta" dan secara peribadi aku katakan cinta itu tidak buta kerana cinta adalah perasaan,yang buta adalah manusia kerana gagal melihat dan memperolehi cinta yang sebenar walaupun mata terbuka luas namun masih buta dalam menilai dan menemukan cinta dan apabila mereka gagal dan kecewa dalam pencintaan maka cinta akan di persalahkan.

Apa yang aku dapat katakan "orang yang kita sayang belum tentu orang yang kita cinta namun orang yang kita cinta sudah pasti orang yang kita sayang dan persamaan ke dua ini ialah orang yang kita sayang atau cinta pasti orang yang akan kita rindu".
~ penajalanan~