Tuesday, January 25, 2011

semanis senyum mereka



Aku tidak pernah menduga untuk menjadi seorang 'guru' kerana jauh dari impian dan cita-cita aku yang sebenar.Namun segalanya atas jalan takdir yang telah di tentukan oleh yang lebih mengetahui akan segala-segalanya.Aku menerima pelantikan sebagai seorang guru di sebuah institusi pendidikan swasta beraliran agama.Aku menerima tawaran yang di berikan kerana ingin menemani kakak yang telah kehilangan suami setelah mendirikan rumah tangga kira- kira 2 tahun yang lalu.Jasanya kepadaku ketika di bangku sekolah dan ketika menuntut di pusat pengajian tinggi tidak boleh di pandang sepi.Namun aku kagum dengan ketabanan yang dimiliki dan semangat untuk meneruskan kehidupan walaupun telah di tinggalkan bersama anak perempuan yang baru berusia 4bulan ketika di tinggalkan oleh arwah ayahnya.Sudah di takdirkan Siti Nurfatin Afifah bergelar anak yatim walaupun ketika masih belum puas menikmati kasih sayang daripada seorang yang bergelar ayah.Dengan membuat keputusan untuk menetap di Perak kami berteduh dirumah peninggalan ayah sebelum beliau bergelar pesara polis dan berhijrah ke Johor Bharu.


"Kalau begitu Fahim boleh mula bertugas pada 1 Julai dan mata pelajaran yang akan Fahim mengajar di sini nanti ialah Sejarah untuk tingkatan 3 4 dan 5." Begitulah penerangan serba ringkas daripada Tuan Pengetua setelah aku bersetuju untuk berkhidmat sebagai seorang guru dan sekaligus menerima amanah untuk mendidik anak bangsa.Satu episod baru akan bermula dalam hidupku.Aku memandang tepat ke arah buku teks sejarah yang di bekalkan oleh pihak sekolah kepadaku.Dalam hati aku berkataa buku inilah yang sering aku lupa dari membawa ke sekolah kerana aku tidak menggemari subjek sejarah namun nasib menyebelahi aku walaupun aku tidak memberikan tumpuan kepada subjek ini namun aku masih lulus dengan cemerlang untuk Sijil Pelajaran Malaysia sehingga guru sejarahku terkejut kerana tidak menyangka aku akan lulus dengan cemerlang."Hmmm...nampaknya terpaksalah aku buka semula kitab aku kak.."Keluhan yang aku lemparkan kepada kakak setelah tiba di rumah."Tak mengapalah,janji kamu ada semangat dan niat yang ikhlas untuk mengajar dan ambil pengalaman bergelar seorang guru nanti.".jawab kakak menambah keyakinan kepadaku.


Hari yang di hitung dan di nanti telah tiba.Segala perasaan bercampur baur telah mengiringi aku untuk hari pertama aku ke sekolah.Namun seketika detik dalam diri aku masih sempat mengimbau nostalgia lama ketika bergelar pelajar suatu ketika dahulu,apa yang berbeza untuk pagi itu aku ke sekolah dengan membawa langkah kaki sebagai seorang guru.Mataku memandang ke arah luar , kawasan sawah padi yang luas bagaikan lautan hijau menemani aku sepanjang perjalanan ke sekolah dan sedikit sebanyak dapat mendamaikan perasaan aku yang agak gementar."Assalamualaikum cikgu." sembah salam yang pertama telah diberikan oleh para pelajar tingkatan 3 Jabir yang berjaya mengkekalkan ingatan aku kepada mereka kerana merupakan kelas pertama yang memanggilku dengan gelaran cikgu."wa'alaikumussalam, kamu semua boleh duduk". Jawabku tenang.Aku memulakan sesi memperkenalkan diri,aku tidak bermasalah dalam berinteraksi dengan para belajar mungkin pengalaman aku ketika di bangku sekolah dahulu kerana aktif dalam pertandingan pidato dapat membantu aku untuk berkomunikasi dengan baik.Aku menjawab segala pertanyaan tentang diri aku oleh para pelajar dengan sabar.Nampaknya kehadiran aku mula di senangi oleh mereka.

Silauan terik cahaya matahari membuatkan mataku terkebil-kebil memandang jadual waktu guru yang di bekalkan kepadaku."Maaf ustaz,kelas tingkatan 4 Al-Farabi di mana .?"bertanya aku ringkas."Cikgu gunakan tangga ini dan berjalan terus ke hadapan,kemudian cikgu belok ke arah kanan."balas ustaz Syukur berserta dengan senyuman.Melangkah masuk ke dalam kelas 4 Al-Farabi aku sedikit malu,maklumlah kelas tingkatan 4 Al-Farabi adalah kelas yang terdiri daripada semua pelajar perempuan.Aku melayan kerenah dan telatah mereka dengan sabar dan tenang.”Nama saya Nur Amanina Binti Azhar asal cheras.”Amanina cuba memperkenalkan diri,dengan suara serak – serak basah yang di milikinya dia kelihatan sangat comel dan licik."Nama saya Masthura Dhamayanti asal selayang." dengan suara sedih dan sayu Masthura memperkenalkan diri."Kenapa Masthura saya dengar sedih saja."sampuk aku mendapat kepastian"alah dia memang macam itu cikgu! minah sedih !."tiba-tiba ada suara yang menyampuk."Ish! mana ada.."Masthura membela diri.Keadaan kelas menjadi gamat dengan ketawa sinis para pelajar yang geli hati melihat telatah Masthura apabila di usik oleh rakan-rakan.Aku mula serasi dengan mereka dan setiap kali menjalani proses pembelajaran ada sahaja gurau senda yang akan menjadikan suasana ceria.

Hari berlalu dengan begitu pantas tanpa sempat aku menghitung setiap detik waktu yang telah berlalu.Aku sungguh selesa mengajar disini.Layanan yang diberikan oleh pihak sekolah kepada setiap warga guru juga amat baik.Hubungan aku dengan para pelajar juga mesra,namun aku tetap menjaga batas pergaulan lebih-lebih lagi yang berbeza jantina denganku,tambahan pula kami berada di institusi pendidikan yang menerapkan tarbiah Islamiah , aku tidak mahu hubungan mesra aku dengan para pelajar di salah tafsir oleh individu tertentu.Namun terkadang jauh di sudut hati aku merasa kecil bila berdiri di hadapan para pelajar tetapi cuba aku sembunyikan,kerana aku tidak memiliki sarjana pendidikan untuk bergelar guru yang bertauliah,sungguh pun demikian , alasan itu tidak membuatkan aku mengambil sikap sambil lewa dalam menyampaikan pengajaran.Hampir setiap malam aku mengulangkaji sebelum aku memulakan sesi pengajaran.Dalam tak sedar dengan putaran waktu, aku berjaya menamatkan sesi persekolahn untuk tahun 2009,untuk tahun seterusnya aku memohon menjadi guru bahasa melayu kerana aku lebih gemar akan subjek pengajian bahasa dan merasakan aku lebih mampu memberikan pengajaran yang terbaik untuk subjek tersebut.

Kemeja berwarna hitam dan berjalur kelabu aku pilih untuk aku gayakan pada hari pertama setelah beberapa hari cuti persekolahan sesi 2009 tamat.”Cikgu mengajar subjek apa tahun ini.?”tanya ustazah Junaidah.”Saya mengajar bahasa melayu ustazah,syukurlah dapat mengajar subjek yang saya minta.”Jawab aku bersahaja.Sebagai tanda berterima kasih atas permohonan aku mengajar subjek bahasa melayu di luluskan aku memberikan penyampaian yang terbaik untuk sesi pembelajaran bahasa melayu,hampir semua bahan bantuan mengajar aku gunakan untuk menarik minat para pelajar,daripada prosa klasik sehinggalah prosa moden tambah menggembirakan aku para pelajar turut menunjukkan minat terhadap sesi pembelajaran .Segala ilmu ketika berada di Institusi pengajian tinggi aku gunakan untuk pengajian bahasa melayu,mudah bagi aku kerana aku mengambil jurusan seni persembahan teater ketika di universiti.


Minat terhadap seni hiasan dalaman sedikit sebanyak aku gunakan untuk membantu menghias kelas tingkatan 5 Ibnu Khaldun iaitu kelas 4 Al -Farabi pada tahun sebelumnya.Aku sangat gembira kerana menjadi guru kelas untuk mereka.Setiap sudut di dalam kelas kami hiasi dengan kreativiti yang tersendiri.Hubungan kami sebagai guru dan pelajar bertambah mesra.”Cikgu jangan lah pindah kemana-mana...,tunggulah sampai kami habis peperiksaan SPM nanti...”pesan Amanina.Dia sangat risau sekiranya aku berpindah kerana telah menjadi kebiasaan guru-guru yang pernah mengajar di sekolah tersebut tidak akan berkhidmat lama.”Baiklah... ,saya janji akan berada di sini sehingga kamu semua tamat sesi persekolahan...”jawapan aku bersahaja.”Janji tau...!”Amanina cuba mendapatkan kepastian."ya lah cikgu..,nanti siapa yang nak ajar kami semua."rakan_rakan yang lain mencelah.Aku tergamam seketika.Perasaan terharu mula bertandang dengan kata-kata mereka membuatkan diri aku terasa sangat di hargai.Semenjak aku menjadi guru kelas kepada mereka kami semakin akrab,kadangkala aku menganggap mereka seperti adik kandung sendiri kerana aku juga mempunyai adik lelaki yang seusia dengan mereka.

Namun benarlah kemarahan dan prasangka buruk adalah musuh dalam diri.kemarahan akan menjadikan manusia hilang pertimbangan manakala prasangka buruk adalah sahabat sejati untuk persengketaan.”Cikgu ini borang permohonan cuti, pengetua mahukan cikgu lengkapkan.”kata salah seorang kerani sekolah kepadaku.Aku merenung tajam borang yang diberikan.Pada mulanya aku berfikiran terbuka dengan pemberian borang pemohonan cuti kepada aku.”cikgu,apa maksud ‘terkesima’..?”tanya salah seorang guru kepada aku sejurus selepas aku menerima borang tersebut.Aku mula merasakan sesuatu yang pelik berlaku apabila mendengar hilai ketawa yang datang dari arah pejabat sekolah.Pertanyaan cikgu sebentar tadi yang inginkan maksud perkataan terkesima mula aku anggap sebagai sindiran.Memang benar aku tidak hadir ke sekolah pada hari sebelumnya,namun aku mempunyai alasan tersendiri.Api kemarahan aku telah membakar fikiran waras ketika itu,lantas aku menulis cuti untuk selamanya pada borang yang telah di berikan.Dalam erti kata lain aku berhenti berkhidmat sebagai guru.Satu keputusan yang aku lakukan ketika di kuasai emosi marah telah pun memakan diri.


Aku merenung ke arah langit melihat bintang dan bulan yang menghiasi langit malam.Mungkin dengan melihat bintang dan bulan pada malam ini aku berasa dekat dengan mereka kerana walau sejauh mana kita berada pasti akan dapat melihat bintang dan bulan yang sama.Namun itu hanya sekadar kata-kata untuk memujuk hati.
“Itulah kau Fahim , akibat marahkan nyamuk kelambu di bakar ..” kata-kata yang emak lemparkan kepada aku pada senja tadi datang menyapa,membuatkan aku terbungkam dalam lamunan.Walaupun jasadku tiada disekolah namun fikiran dan ingatan aku tetap kepada mereka.Kotak berwarna merah jambu aku tatap dengan sayu dan pilu air mata mula berkolam menanti saat untuk di singkirkan, dalam kesedihan dan kepiluan aku mengenang kembali janji aku kepada merekaa untuk berkhidmat sehingga tamat sesi persekolahan.

Rasa bersalah mula bersarang dalam diri.Penyesalan mula berlegar dalam benak fikiranku dan terfikir sejenak sekiranya aku mampu melawan emosi marah dengan lebih terkawal sudah tentu aku masih dapat bersama mereka membantu dalam meneruskan kejayaan dalam pelajaran.Sudah tentu aku masih dapat melihat setiap senyuman antara mereka.Namun aku terpaksa akur dalam menerima lumrah hidup kerana setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.Mungkin kesilapan hari ini adalah pengajaran untuk hari esok supaya aku lebih matang dalam membina keputusan dalam hidup.Pengalaman bergelar guru adalah pengalaman yang sungguh berharga untuk aku walaupun hanya seketika cuma.Namun setiap babak-babak yang aku cipta bersama mereka tidak akan pernah terkubur serta menjadi pengubat rindu saat terkenangkan mereka dan akan aku jadikan pengalaman yang paling manis semanis senyum mereka.

No comments:

Post a Comment